Seorang lelaki
datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dia alami.
Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang upahan dengan gaji sebanyak 5
dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi untuknya.
Namun anehnya, Imam
Syafie menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan
gajinya menjadi 4 dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sedangkan
dia tidak faham apa maksud suruhan itu.
Setelah berlalu
beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang
kehidupannya yang tidak ada perubahan. Lalu
Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan meminta
agar mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. Lelaki itu pun pergi
melaksanakan saranan Imam Syafie dengan perasaan yang sangat hairan.
Setelah berlalu
sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih
atas nasihatnya dengan menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan
semua keperluan hidupnya malah hidupnya menjadi lapang. Dia bertanyakan apa
rahsia di sebalik semua itu?
Imam Syafie
menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia lakukan itu tidak layak untuk mendapatkan
upah lebih daripada 3 dirham yang mana kelebihan 2 dirham yang dia perolehi itu
telah menarik keluar keberkatan harta yang dia miliki.
Lalu Imam Syafie
membacakan sebuah sya'ir yang membawa maksud :-
“Dia kumpulkan yang
haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu
ia merosakkannya”.
Moral
Of The Story
Kisah ini menjadi
pengajaran yang sangat berguna dalam kehidupan seharianku dalam menjalankan tugas
seharian di pejabat. Kerja adalah suatu
ibadah. Menjalankan tugas atau
tanggungjawab untuk memperolehi pendapatan dan mendapat keredhaan Allah.
Saya diamanahkan
untuk menjalankan tugas bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Tenaga
Nasional Berhad. Setiap detik, setiap
masa…saya cuba pastikan diisi dengan sebaik mungkin dengan menjalankan
tugas-tugas yang telah diamanahkan..cuba untuk menjadi seorang pekerja yang
berdedikasi dan komited dalam apa jua masalah dan keadaan agar ianya setimpal
dengan gaji yang saya perolehi setiap hujung bulan...
Bila gaji yang kita
terima setiap bulan tidak seimbang dengan kerja yang kita laksanakan, ini
bermakna kita sudah menerima harta yang bukan hak kita yang mana ianya akan
menjadi penghalang keberkatan harta yang ada, dan menyebabkan hisab yang berat
di akhirat kelak...Allahu Akhbar!..
Semoga Allah sentiasa mengurniakan kita kemampuan untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sehingga rezeki yang kita perolehi diberkati olehNya di dunia dan akhirat...Amin..
Surah al-Jumuah ayat 10 bermaksud :-
“Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)".

No comments:
Post a Comment