1.0 PENGENALAN
Tugasan ini membincangkan tentang apa
itu perniagaan francais dan perkembangan industri francais di Malaysia. Tugasan ini bermula dengan memahami definisi
dan keterangan tentang apa itu perniagaan francais dan sejarah pembangunan
industri Francais di peringkat global dan juga Malaysia. Seterusnya adalah membincangkan secara
menyeluruh tentang perkembangan dan pembangunan perniagaan francais di Malaysia
pada masa kini. Walaupun industri francais
ini mula diperkenalkan di negara barat, Malaysia juga tidak ketinggalan
bersama-sama menjalankan perniagaan francais ini yang merupakan pemangkin
kepada perkembangan ekonomi negara.
2.0 DEFINISI PERNIAGAAN FRANCAIS,
FRANCAISI DAN FRANCAISOR
Menurut Dita Moly Fatra, et al. (2013), dalam menjalankan
perniagaan francais, francaisor dan francaisi melakukan perjanjian francais yang menimbulkan hak dan kewajiban kedua belah pihak,
kewajiban francaisor adalah
memberikan lesen kepada francaisi, yang di dalamnya termaktub hak francaisor menyertakan logo, sistem
operasi yang dimiliki dan dikembangkan oleh francaisor untuk dijalankan oleh francaisi. Sedangkan hak francaisi adalah menerima lesen
dan kewajibannya adalah membayar royalti kepada francaisor serta menjaga
kualiti barang dan perkhidmatan.
Menurut Nor Aishah Buang (2002), Persatuan Francais
Britain telah mendefinisikan francais sebagai suatu lesen kontrak yang
diberikan oleh pemilik francais kepada penerima francais yang membenarkan atau memerlukan
penerima francais menjalankan sesuatu perniagaan di bawah akta atau menggunakan
suatu nama khusus yang dimiliki atau berkaitan dengan pemilik francais
sepanjang tempoh francais. Francais ialah perkhidmatan yang dimiliki oleh francaisor
mengikut amalan dan piawai yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak (Nurli Yaacob, 2012).
Menurut Kamus Pelajar (2008), Francaisi adalah orang atau pihak yang
diberi kebenaran oleh pengeluar atau sesebuah syarikat utk memasarkan barangan
keluarannya atau perkhidmatan yang diasaskannya. Manakala menurut Menurut Kamus Dewan (2005),
Francaisor merupakan syarikat
induk yang memberikan francais sesuatu barangan atau perkhidmatan kepada
pengusaha.
Oleh yang demikian, francais merupakan
perniagaan yang dikongsi antara pemilik produk iaitu francaisor yang
menyediakan barangan dan perkhidmatan bersama-sama dengan sistem perniagaan dan
francaisi pula akan menjalankan perniagaan tersebut dengan menyediakan modal
kewangan, tenaga kerja dan menjalankan usaha yang berterusan agar perniagaan
tersebut maju dan berjalan dengan lancar.
3.0 SEJARAH
PEMBANGUNAN INDSUTRI FRANCAIS
Perkataan
Francais adalah berasal daripada perkataan Perancis iaitu fraco yang membawa
maksud hak keistimewaan atau kebebasan. Sejak
lebih 100 tahun yang lalu, sistem perniagaan moden iaitu francais yang
dipercayai bermula di Eropah dan telah berkembang dengan cepat dan hebat di
Amerika Syarikat. Konsep francais ini
amat popular di Amerika Syarikat di mana ia telah menyumbangkan lebih USD 800
bilion atau 41 peratus daripada jualan runcit tahunan serta memberi peluang
pekerjaan kepada lebih 8 juta penduduk. (Wan Liz Ozman Wan Omar dan Sulzari
Mohamad, 2002).
Di peringkat
global, sejarah pembangunan perniagaan francais bermula sekitar tahun 1940-an
yang apabila terdapat
beberapa pengeluar minuman arak telah memberi hak (francais) kepada kedai-kedai
minuman arak dengan tujuan untuk menjual arak keluaran mereka kepada pengguna
di Jerman.
Di Amerika
Syarikat pula pada 1850-an telah bermulanya pengedaran barangan mesin jahit
keluaran Syarikat McCormick
Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company. Pada awal 1900, perkembangan perniagaan
francais di peringkat global terus berkembang dengan pemasaran kereta oleh
General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang dilantik
sebagai pengedar francais.
Selain daripada itu juga, beberapa rangkaian restoran
makanan segera juga telah mula mencipta sejarah dalam sistem perniagan francais
seperti McDonald’s oleh Ray Kroc pada
tahun 1955, diikuti dengan Kentucky Fried
Chicken oleh Kolonel Harlan Sanders dan seterusnya Pizza Hut, A&W, Burger
King dan banyak lagi.
Perkembangan perniagaan francais di Malaysia bermula pada
tahun 1940-an yang didahului dengan syarikat-syarikat
yang berkonsepkan produk isi rumah seperti Singer dan Bata. Sistem perniagaan francais terus terkenal dan
dikenali oleh masyarakat Malaysia sekitar tahun 1960-an dan 1970-an dengan kemunculan
rangkaian restoran makanan segera dari Amerika Syarikat seperti Kentucky Fried
Chicken (KFC), A&W, Pizza Hut dan McDonald’s.
Pada Ogos 1992
Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri telah diarahkan oleh
Majlis Pembangunan Negara yang perlu bertindak sebagai Pusat Francais Setempat
bagi menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan perniagaan sistem
francais. Seterusnya juga pada 1992,
Bahagian Pembangunan Francais di bawah Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri
telah ditubuhkan yang menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam membangunkan
industri francais di Malaysia. Dengan
ini, kita dapat melihat bermula titik tolak tersebut, sehingga kini industri
francais terus berkembang di Malaysia.
4.0 KEPENTINGAN
INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL
Melalui
perkembangan industri francais masa kini, ianya telah memberi sumbangan yang
amat besar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang mana ianya
dijadikan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Persatuan Francais Malaysia (MFA)
optimis industri francais negara mampu mencatatkan sumbangan berjumlah RM26.8
bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding RM26.15
bilion tahun lalu meskipun berdepan cabaran ekonomi yang memberi kesan langsung
kepada sektor perniagaan komersial. (Mohamad Shukri Salleh, 2015)
Ini adalah
selaras dengan matlamat pihak kerajaan dengan penubuhan Pelan Induk Pembangunan
Francais Nasional pada 2012 yang telah menjangkakan sumbangan perniagaan
francais ini akan meningkat dan membantu kepada kemantapan pembangunan ekonomi
negara. Selain meningkatkan sumbangan
kepada KDNK, pelan induk baharu tersebut dijangka memberi kesan terhadap
pertumbuhan pemain, peningkatan pendapatan dan perluasan ke luar negara
terhadap industri francais, sumbangan kepada KDNK akan meningkat darpada 2.2
peratus tahun lalu kepada 4.3 peratus pada 2016 dan terus melonjak kepada 9.4
peratus pada 2020 selaras dengan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 2012).
Selain daripada
memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara, industri francais ini juga dapat
mewujudkan peluang baru kepada usahawan francais den seterusnya dapat membantu
para usahawan negara kita untuk meningkatkan taraf ekonomi kepada usahawan itu
sendiri dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui industri francais ini juga ianya
memberi peluang kepada negara untuk dikenali di peringkat antarabangsa. Perkara
ini dapat kita lihat yang mana terdapat beberapa produk francais tempatan yang
telah berjaya menguasai pasaran antarabangsa.
Dengan ini secara langsung telah membawa Malaysia ke persada
antarabangsa dan memberi imej dan pandangan yang baik daripada masyarakat luar
negara terhadap kemampuan kita untuk bersaing di pasaran antarabangsa.
Dengan
pertumbuhan industri francais yang semakin meluas, ianya juga dapat memberi
peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan. Mengambil sebagai contoh rangkaian
restoran makanan segera MarryBrown.
Dengan pertambahan cawangan MarryBrown di sesuatu penempatan akan
memberi sumbangan kepada masyarakat tempatan di sekelilingnya dengan mewujudkan
peluang pekerjaan sama ada kepada mereka yang ingin bekerja sepenuh masa atau
bekerja sambilan. Oleh
yang demikian ianya memberi sumbangan kepada masyarakat yang mana hasil
pendapatan
yang diterima daripada industri francais ini dapat menyara kehidupan mereka dan
seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup.
5.0 TAHAP PEMBANGUNAN
PERNIAGAAN FRANCAIS DI MALAYSIA
Industri
francais Malaysia menunjukkan perkembangan yang positif kerana terdapat
beberapa jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran global dan
mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa. Perkembangan perniagaan francais di
Malaysia terus berkembang dengan peningkatan penglibatan ramai usahawan dalam
mewujudkan pelbagai jenis keluaran barangan dan perkhidmatan yang mengunakan
sistem francais ini.
Sehingga hingga kini ada 768 francaisor berdaftar dengan
Pendaftar Francais membabitkan 7,525 francaisi” dan "Sebanyak 58 jenama
francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa antaranya Smart
Reader, Bangi Kopitiam, Nelson, Q-Dees, MarryBrown dan Pusat Tuisyen Mawar.
(Datuk Seri Hasan Malek, 2015)
Menurut Datuk Seri
Hasan Malek (2015), francais tempatan mendapat sambutan amat baik di luar negara
dengan 60 jenama kini menembusi 55 buah negara dan permintaan terhadap produk
francais negara membuktikan sektor berkenaan mampu berkembang dengan lebih
pesat.
Oleh itu, penerimaan masyarakat Malaysia terhadap
industri francais ini semakin mendapat tempat dan berkemungkinan bilangan
pertambahan usahawan yang menceburkan dalam industri francais ini akan
meningkat dari masa ke semasa. Apa yang
penting di sini adalah kesanggupan masyarakat atau usahawan Malaysia untuk
berusaha untuk membangunkan perniagaan yang berkonsepkan sistem francais ini.
6.0
SISTEM SOKONGAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Mohamad Shukri
Salleh (2014) berkata, kerajaan melalui melalui kementerian dan pelbagai agensi
terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama
tempatan di pasaran antarabangsa.
Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan
mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara.
Industri
francais di Malaysia disokong oleh pihak kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk
membantu serta melahirkan lebih ramai usahawan francais. Dibawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPFT) telah
ditubuhkan. Matlamat program ini adalah
untuk memberi bantuan kepada Usahawan Bumiputera tempatan yang memiliki
perniagaan atau produk tempatan yang dilihat mempunyai daya saing dan berupaya
untuk diberi peluang untuk dikembangkan perniagaan tersebut melalui sistem
francais. Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menanggung sepenuhnya kos bayaran perundingan
yang diperlukan bermula dari peringkat awal sehingga outlet prototaip
ditubuhkan.
Program
seterusnya yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan adalah Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF). Melalui program ini bantuan tidak secara
penuh diberikan oleh pihak kerajaan.
Namun begitu tujuan penubuhan dana ini adalah untuk memberi galakkan
kepada usahawan tempatan mengambil inisiatif sendiri bagi mengubah perniagaan
sedia ada mereka kepada perniagaan francais.
Selain
daripada itu juga, pihak kerajaan ada melaksanakan pelbagai program bagi
mempromosikan perniagaan francais bagi membantu francaisor mengembangkan
perniagaan francais mereka. Antara
aktiviti yang dilakukan adalah seperti ekspo promosi francais, Francais
Komuniti untuk francaisor tempatan.
Aktiviti ini dilakukan di seluruh negara yang bertujuan untuk menarik
minat lebih ramai lagi masyarakat tempataan untuk melibatkan dalam perniagaan
francais yang dianggarkan bernilai di bawah RM 50,000.
Pihak kerajaan juga menyediakan kemudahan kepada francaisor untuk menyertai ekspo di luar negara. Negara Indonesia, China dan negara-negara Timur Tengah merupakan sasaran utama yang telah dikenalpasti oleh pihak kerajaan untuk diberi penglibatan kepada francaisor tempatan.
Pihak kerajaan juga menyediakan kemudahan kepada francaisor untuk menyertai ekspo di luar negara. Negara Indonesia, China dan negara-negara Timur Tengah merupakan sasaran utama yang telah dikenalpasti oleh pihak kerajaan untuk diberi penglibatan kepada francaisor tempatan.
Akademi
Perbadanan Nasional Berhad (PNS) juga telah ditubuhkan untuk turut serta
bersama-sama membantu francaisor, francaisi dan masyarakat menerima latihan dan
pendedahan tentang francais.
Selain
dari itu juga Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang merupakan badan bukan
kerajaan dilihat selalu bersama-sama pihak kerjaan dalam membangunkan industri francais
tempatan. Persatuan ini menjadi
perantaraan antara ahli-ahli yang
bernaung dibawahnya bagi industri francais dengan pihak kerajaan.
Dengan
adanya sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan dan agensi seperti yang
dinyatakan di atas, adalah diharapakan ianya dapat membantu orang awam,
francaisi dan francaisor untuk mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan tentang
perniagaan francais dan juga membuka mata tentang kebaikan yang boleh
diperolehi melalui perniagaan francais ini.
Selain daripada itu juga adalah diharapkan ianya juga dapat menarik
minat orang awam atau usahawan untuk turut menyertai perniagaan francais ini. Menurut Mohd Shukri Salleh (2014), Kerajaan akan membantu usahawan francais ke
luar negara. Kerajaan memberikan maklumat dan sokongan tambahan apabila berada
di pasaran luar. Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting
untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
7.0 CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN
FRANCAISOR DI MALAYSIA
Walaupun Industri
francais mempunyai potensi yang besar dalam menyumbang kepada pembangunan
ekonomi negara, namun begitu masih terdapat cabaran yang dihadapi dalam
pembangunan industri francais di Malaysia seperti orang awam, usahawan secara
umum dan usahawan francais secara khususnya yang masih belum mengetahui dan
memahami dengan mendalam tentang sistem perniagaan francais itu sendiri
termasuklah potensi dan kebaikan-kebaikan sistem ini.
7.1
Cabaran dan Halangan Kepada Francaisi
Antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh francaisi adalah kelemahan
dari segi ilmu pengetahuan tentang perniagaan francais. Kebergantungan oleh francaisi terhadap
francaisor menyebabkan perniagaan francais yang dijalankan tidak berjaya. Francaisi bukan hanya mengeluarkan modal
kewangan semata-mata tetapi perlu mengetahui selok belok perniagaan francais.
Cabaran yang paling
utama yang dihadapi oleh francaisi adalah bayaran atau yuran yang perlu dibayar
kepada francaisor. Kadangkala bayaran yuran yang dikenakan agak tinggi dan
adalah diluar kemampuan francaisi disamping terdapat juga bayaran tertentu yang
perlu dilakukan secara berterusan.
Selain daripada itu
juga, francaisi juga perlu berhati-hati kerana terdapat francaisor yang
melakukan penipuan dan salah urus. Ini
menyebabkan francaisi mengalami kerugian.
Oleh yang demikian sebelum menjalankan perniagaan francais, francaisi
dinasihatkan agar melakukan penyelidikan tentang operasi perniagaan francais
yang dilakukan oleh francaisor.
Cabaran seterusnya yang
dihadapi oleh francaisi di Malaysia adalah terdapat francaisor yang tamak yang
boleh menyumbang kepada kegagalan perusahaan francais. Keuntungan menjadi matlamat utama francaisor
tanpa mengambil perhatian terhadap kepentingan francaisi seperti yang telah
termaktub di dalam terma-terma perjanjian francais.
Selain daripada itu juga
dalam industri francais ini, sikap merupakan perkara yang sangat penting bagi
memastikan perusahaan francais yang diusahakan ini berjaya. Francaisi perlu mempunyai sikap yang sering
berusaha dan melakukan pelbagai inisiatif dan mempunyai rasa tanggungjawab
terhadap perusahaan francaisnya.
Cabaran lain yang dihadapi oleh francaisi adalah
sekiranya mereka melanggar perjanjian francais, francaisor boleh menamatkan
kotrak tersebut sekiranya francaisi melanggar sebarang terma yang terdapat di
dalam perjanjian tersebut. Antara
sebab-sebab yang membolehkan pihak francaisor menamatkan kontrak tersebut
adalah seperti francaisi tidak mampu untuk membayar royalti dan tidak menunjukkan
prestasi baik yang gagal mendatangkan keuntungan. Sekiranya kontrak francaisi ini ditamatkan,
segala pelaburan yang telah dilaburkan oleh francaisi akan hilang begitu
sahaja.
7.2
Cabaran dan Halangan Kepada Francaisor
Bagi cabaran yang perlu dihadapi oleh francaisor adalah rahsia perniagaan
mereka terpaksa dikongsikan bersama dengan francaisi. Perkongsian antara francaisor dan francaisi ini
merupakan rahsia-rahsia perniagaan yang boleh mengundang risiko yang
berkemungkinan pihak lain akan meniru bentuk perniagaan tersebut.
Selain daripada itu juga cabaran lain yang dihadapai oleh francaisor adalah
berkemungkinan francaisi yang dipilih tidak mempunyai komitmen yang tinggi
dalam mengusahakan perniagaan francais ini.
Oleh yang demikian, francaisor perlu memilih francaisi yang benar-benar
berkelayakan dan mempunyai ciri-ciri seorang usahawan untuk menjalankan
perniagaa francais ini. Perkara ini juga
berkaitan dengan sebarang tindakan yang
dilakukan oleh francaisi yang mencerminkan imej kepada francaisor. Contohnya adalah sekiranya perkhidmatan atau
barang yang disediakan di cawangan mempunyai kualiti yang rendah, perkara ini
akan memberikan imej dan tanggapan yang buruk dan seterusnya mencemarkan nama
baik francaisor.
Francaisor yang bertanggungjawab akan membantu dan membimbing francaisor
bagi memajukan perniagaan francaisnya.
Bantuan dan khidmat sokongan yang diberikan oleh francaisor bukan hanya
pada peringkat awal pihak francaisi memulakan operasinya tetapi kadangkala
sepanjang perniagaan francais itu diusahakan oleh francaisi. Perkara ini telah memnyebabkan kos
pembangunan yang tinggi terpaksan ditanggung oleh francaisor.
8.0 MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA
Industri francais kini
dilihat semakin berkembang dari masa ke semasa selari dengan peredaran masa di
dunia yang serba moden ini. Pertumbuhan
syarikat-syarikat francais di Malaysia sangat memberangsangkan dengan usaha,
bantuan dan sokongan pihak kerajaan bagi menjayakan industri francais ini.
Ini dapat dilihat
dengan penubuhan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) yang telah
dilancarkan pada 10 Januari 2012 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sejak sistem francais diperkenalkan di
Malaysia, melalui penubuhan PIPFN ini membuktikan betapa pihak kerajaan
bersungguh-sungguh berusaha untuk membangunkan sistem industri francais ini
kepada satu tahap yang lebih baik pada masa hadapan.
Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional mempunyai tiga
fasa. Fasa pertama dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga 2014 iaitu pengukuhan
industri francais. Pada fasa kedua pula, pelan induk tersebut diadakan
bertujuan untuk mewujudkan francais domestik yang dinamik dan teguh selari
dengan visi PIPFN yang dijadualkan pada tahun 2015 sehingga 2016. Manakala fasa
ketiga pula iaitu bermula pada tahun 2017 hingga 2020. Malaysia sebagai pusat francais merupakan
matlamat utama bagi fasa ketiga ini. Menurut
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2012), PIPFN telah merangka tiga fasa bagi
membantu memajukan industri francais dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai
pusat francais di peringkat Asia Tenggara dan menembusi negara Timur Tengah
pada tahun 2020.
Sesunguhnya, usaha-usaha
yang dilakukan oleh pihak kerajaan sudah pasti akan dapat membentuk dan
melahirkan usahawan Malaysia yang mampu untuk maju dan berdaya harap dan
seterusnya mampu untuk terus berkembang dan dapat memberi persaingan yang hebat
terhadap pasaran diperingkat antarabangsa.
Keberkesanan ini dapat dilihat dengan kejayaan yang telah dicapai oleh
usahawan tempatan seperti Secret Recipe Cake & Café, Marrybrown, Chicken King, dan Ayamas. Kebanyakan mereka telah berjaya menguasai
pasaran di seluruh Malaysia dan terdapat di kalangan mereka juga telah berjaya
mengusai pasaran luar negara.
Namun begitu
dalam menyaingi pasaran global, Datuk
Hasan Malek (2013) berkata, usahawan francais juga perlu bersedia berhadapan
dengan cabaran di samping sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan sistem
francais mereka sedia ada. Katanya,
industri francais di Malaysia terutamanya kini sudah memasuki memasuki fasa
matang yang mana dapat dilihat jenama francais tempatan telah berjaya menempa
nama di luar negara.
9.0 KESIMPULAN
Oleh yang demikian, usahawan masa kini memilih sistem
perniagaan francais kerana model perniagaan ini yang sangat cepat dan pantas
berkembang dan mampu untuk menjana pendapatan yang tinggi dan pastinya menjadi
pemangkin kepada kemajuan ekonomi seseorang individu, syarikat dan seterusnya
kepada kemajuan ekonomi negara.
Namun begitu dalam keghairahan untuk melaksanakan
perniagaan francais ini, usahawan perlulah memastikan barangan atau produk yang
dihasilkan benar-benar unik yang menarik atau memikat pengguna dan mempunyai
daya saing yang tinggi dengan pasaran luar.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK), menyeru usahawan francais tempatan
untuk meneroka teknik keusahawanan baharu dan menjadi lebih kreatif serta
inovatif menghasilkan sesuatu produk yang mampu bersaing dalam pasaran yang mencabar.
(Utusan, 2013)
Selain daripada itu juga, adalah menjadi keutamaan pihak
kerajaan dalam membangunkan industri francais di Malaysia dan paling utama
adalah sememangnya hasrat pihak kerajaan untuk membantu usahawan tempatan terus
berkembang dalam sistem francais ini dan seterusnya mampu untuk bersaing dengan
syarikat-syarikat di luar negara.
