Thursday, March 17, 2016

SADE 1013 : TUGASAN - INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA


1.0            PENGENALAN

Tugasan ini membincangkan tentang apa itu perniagaan francais dan perkembangan industri francais di Malaysia.  Tugasan ini bermula dengan memahami definisi dan keterangan tentang apa itu perniagaan francais dan sejarah pembangunan industri Francais di peringkat global dan juga Malaysia.  Seterusnya adalah membincangkan secara menyeluruh tentang perkembangan dan pembangunan perniagaan francais di Malaysia pada masa kini.  Walaupun industri francais ini mula diperkenalkan di negara barat, Malaysia juga tidak ketinggalan bersama-sama menjalankan perniagaan francais ini yang merupakan pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara.

2.0 DEFINISI PERNIAGAAN FRANCAIS, FRANCAISI DAN FRANCAISOR
Menurut Dita Moly Fatra, et al. (2013), dalam menjalankan perniagaan francais, francaisor dan francaisi melakukan perjanjian francais yang menimbulkan hak dan kewajiban kedua belah pihak, kewajiban francaisor adalah memberikan lesen kepada francaisi, yang di dalamnya termaktub hak francaisor menyertakan logo, sistem operasi yang dimiliki dan dikembangkan oleh francaisor untuk dijalankan oleh francaisi.  Sedangkan hak francaisi adalah menerima lesen dan kewajibannya adalah membayar royalti kepada francaisor serta menjaga kualiti barang dan perkhidmatan.

Menurut Nor Aishah Buang (2002), Persatuan Francais Britain telah mendefinisikan francais sebagai suatu lesen kontrak yang diberikan oleh pemilik francais kepada penerima francais yang membenarkan atau memerlukan penerima francais menjalankan sesuatu perniagaan di bawah akta atau menggunakan suatu nama khusus yang dimiliki atau berkaitan dengan pemilik francais sepanjang tempoh francais.  Francais ialah perkhidmatan yang dimiliki oleh francaisor mengikut amalan dan piawai yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak (Nurli Yaacob, 2012). 

Menurut Kamus Pelajar (2008), Francaisi adalah orang atau pihak yang diberi kebenaran oleh pengeluar atau sesebuah syarikat utk memasarkan barangan keluarannya atau perkhidmatan yang diasaskannya.  Manakala menurut Menurut Kamus Dewan (2005), Francaisor merupakan syarikat induk yang memberikan francais sesuatu barangan atau perkhidmatan kepada pengusaha.

Oleh yang demikian, francais merupakan perniagaan yang dikongsi antara pemilik produk iaitu francaisor yang menyediakan barangan dan perkhidmatan bersama-sama dengan sistem perniagaan dan francaisi pula akan menjalankan perniagaan tersebut dengan menyediakan modal kewangan, tenaga kerja dan menjalankan usaha yang berterusan agar perniagaan tersebut maju dan berjalan dengan lancar.

3.0            SEJARAH PEMBANGUNAN INDSUTRI FRANCAIS

Perkataan Francais adalah berasal daripada perkataan Perancis iaitu fraco yang membawa maksud hak keistimewaan atau kebebasan.  Sejak lebih 100 tahun yang lalu, sistem perniagaan moden iaitu francais yang dipercayai bermula di Eropah dan telah berkembang dengan cepat dan hebat di Amerika Syarikat.  Konsep francais ini amat popular di Amerika Syarikat di mana ia telah menyumbangkan lebih USD 800 bilion atau 41 peratus daripada jualan runcit tahunan serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 8 juta penduduk. (Wan Liz Ozman Wan Omar dan Sulzari Mohamad, 2002).

Di peringkat global, sejarah pembangunan perniagaan francais bermula sekitar tahun 1940-an yang apabila terdapat beberapa pengeluar minuman arak telah memberi hak (francais) kepada kedai-kedai minuman arak dengan tujuan untuk menjual arak keluaran mereka kepada pengguna di Jerman.

Di Amerika Syarikat pula pada 1850-an telah bermulanya pengedaran barangan mesin jahit keluaran Syarikat McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company.  Pada awal 1900, perkembangan perniagaan francais di peringkat global terus berkembang dengan pemasaran kereta oleh General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang dilantik sebagai pengedar francais. 

Selain daripada itu juga, beberapa rangkaian restoran makanan segera juga telah mula mencipta sejarah dalam sistem perniagan francais seperti McDonald’s oleh Ray Kroc pada tahun 1955, diikuti dengan Kentucky Fried Chicken oleh Kolonel Harlan Sanders dan seterusnya Pizza Hut, A&W, Burger King dan banyak lagi.

Perkembangan perniagaan francais di Malaysia bermula pada tahun 1940-an yang didahului dengan syarikat-syarikat yang berkonsepkan produk isi rumah seperti Singer dan Bata.  Sistem perniagaan francais terus terkenal dan dikenali oleh masyarakat Malaysia sekitar tahun 1960-an dan 1970-an dengan kemunculan rangkaian restoran makanan segera dari Amerika Syarikat seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), A&W, Pizza Hut dan McDonald’s.

Pada Ogos 1992 Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri telah diarahkan oleh Majlis Pembangunan Negara yang perlu bertindak sebagai Pusat Francais Setempat bagi menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan perniagaan sistem francais.  Seterusnya juga pada 1992, Bahagian Pembangunan Francais di bawah Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan yang menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam membangunkan industri francais di Malaysia.  Dengan ini, kita dapat melihat bermula titik tolak tersebut, sehingga kini industri francais terus berkembang di Malaysia.

4.0 KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL

Melalui perkembangan industri francais masa kini, ianya telah memberi sumbangan yang amat besar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang mana ianya dijadikan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

Persatuan Francais Malaysia (MFA) optimis industri francais negara mampu mencatatkan sumbangan berjumlah RM26.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding RM26.15 bilion tahun lalu meskipun berdepan cabaran ekonomi yang memberi kesan langsung kepada sektor perniagaan komersial. (Mohamad Shukri Salleh, 2015)

Ini adalah selaras dengan matlamat pihak kerajaan dengan penubuhan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional pada 2012 yang telah menjangkakan sumbangan perniagaan francais ini akan meningkat dan membantu kepada kemantapan pembangunan ekonomi negara.  Selain meningkatkan sumbangan kepada KDNK, pelan induk baharu tersebut dijangka memberi kesan terhadap pertumbuhan pemain, peningkatan pendapatan dan perluasan ke luar negara terhadap industri francais, sumbangan kepada KDNK akan meningkat darpada 2.2 peratus tahun lalu kepada 4.3 peratus pada 2016 dan terus melonjak kepada 9.4 peratus pada 2020 selaras dengan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi. (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 2012).

Selain daripada memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negara, industri francais ini juga dapat mewujudkan peluang baru kepada usahawan francais den seterusnya dapat membantu para usahawan negara kita untuk meningkatkan taraf ekonomi kepada usahawan itu sendiri dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui industri francais ini juga ianya memberi peluang kepada negara untuk dikenali di peringkat antarabangsa. Perkara ini dapat kita lihat yang mana terdapat beberapa produk francais tempatan yang telah berjaya menguasai pasaran antarabangsa.  Dengan ini secara langsung telah membawa Malaysia ke persada antarabangsa dan memberi imej dan pandangan yang baik daripada masyarakat luar negara terhadap kemampuan kita untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

Dengan pertumbuhan industri francais yang semakin meluas, ianya juga dapat memberi peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.  Mengambil sebagai contoh rangkaian restoran makanan segera MarryBrown.  Dengan pertambahan cawangan MarryBrown di sesuatu penempatan akan memberi sumbangan kepada masyarakat tempatan di sekelilingnya dengan mewujudkan peluang pekerjaan sama ada kepada mereka yang ingin bekerja sepenuh masa atau bekerja sambilan.  Oleh yang demikian ianya memberi sumbangan kepada masyarakat yang mana hasil pendapatan yang diterima daripada industri francais ini dapat menyara kehidupan mereka dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup.

5.0 TAHAP PEMBANGUNAN PERNIAGAAN FRANCAIS DI MALAYSIA

Industri francais Malaysia menunjukkan perkembangan yang positif kerana terdapat beberapa jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa.  Perkembangan perniagaan francais di Malaysia terus berkembang dengan peningkatan penglibatan ramai usahawan dalam mewujudkan pelbagai jenis keluaran barangan dan perkhidmatan yang mengunakan sistem francais ini. 

Sehingga hingga kini ada 768 francaisor berdaftar dengan Pendaftar Francais membabitkan 7,525 francaisi” dan "Sebanyak 58 jenama francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa antaranya Smart Reader, Bangi Kopitiam, Nelson, Q-Dees, MarryBrown dan Pusat Tuisyen Mawar. (Datuk Seri Hasan Malek, 2015)

Menurut  Datuk Seri Hasan Malek (2015), francais tempatan mendapat sambutan amat baik di luar negara dengan 60 jenama kini menembusi 55 buah negara dan permintaan terhadap produk francais negara membuktikan sektor berkenaan mampu berkembang dengan lebih pesat.

Oleh itu, penerimaan masyarakat Malaysia terhadap industri francais ini semakin mendapat tempat dan berkemungkinan bilangan pertambahan usahawan yang menceburkan dalam industri francais ini akan meningkat dari masa ke semasa.  Apa yang penting di sini adalah kesanggupan masyarakat atau usahawan Malaysia untuk berusaha untuk membangunkan perniagaan yang berkonsepkan sistem francais ini.

6.0         SISTEM SOKONGAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Mohamad Shukri Salleh (2014) berkata, kerajaan melalui melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa.  Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara.

Industri francais di Malaysia disokong oleh pihak kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk membantu serta melahirkan lebih ramai usahawan francais.  Dibawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPFT) telah ditubuhkan.  Matlamat program ini adalah untuk memberi bantuan kepada Usahawan Bumiputera tempatan yang memiliki perniagaan atau produk tempatan yang dilihat mempunyai daya saing dan berupaya untuk diberi peluang untuk dikembangkan perniagaan tersebut melalui sistem francais.  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menanggung sepenuhnya kos bayaran perundingan yang diperlukan bermula dari peringkat awal sehingga outlet prototaip ditubuhkan.

Program seterusnya yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan adalah Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF).  Melalui program ini bantuan tidak secara penuh diberikan oleh pihak kerajaan.  Namun begitu tujuan penubuhan dana ini adalah untuk memberi galakkan kepada usahawan tempatan mengambil inisiatif sendiri bagi mengubah perniagaan sedia ada mereka kepada perniagaan francais.

Selain daripada itu juga, pihak kerajaan ada melaksanakan pelbagai program bagi mempromosikan perniagaan francais bagi membantu francaisor mengembangkan perniagaan francais mereka.  Antara aktiviti yang dilakukan adalah seperti ekspo promosi francais, Francais Komuniti untuk francaisor tempatan.  Aktiviti ini dilakukan di seluruh negara yang bertujuan untuk menarik minat lebih ramai lagi masyarakat tempataan untuk melibatkan dalam perniagaan francais yang dianggarkan bernilai di bawah RM 50,000.

Pihak kerajaan juga menyediakan kemudahan kepada francaisor untuk menyertai ekspo di luar negara.  Negara Indonesia, China dan negara-negara Timur Tengah merupakan sasaran utama yang telah dikenalpasti oleh pihak kerajaan untuk diberi penglibatan kepada francaisor tempatan.

Akademi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) juga telah ditubuhkan untuk turut serta bersama-sama membantu francaisor, francaisi dan masyarakat menerima latihan dan pendedahan tentang francais.

Selain dari itu juga Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang merupakan badan bukan kerajaan dilihat selalu bersama-sama pihak kerjaan  dalam membangunkan industri francais tempatan.  Persatuan ini menjadi perantaraan  antara ahli-ahli yang bernaung dibawahnya bagi industri francais dengan pihak kerajaan.

Dengan adanya sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan dan agensi seperti yang dinyatakan di atas, adalah diharapakan ianya dapat membantu orang awam, francaisi dan francaisor untuk mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan tentang perniagaan francais dan juga membuka mata tentang kebaikan yang boleh diperolehi melalui perniagaan francais ini.  Selain daripada itu juga adalah diharapkan ianya juga dapat menarik minat orang awam atau usahawan untuk turut menyertai  perniagaan francais ini.  Menurut Mohd Shukri Salleh (2014), Kerajaan akan membantu usahawan francais ke luar negara. Kerajaan memberikan maklumat dan sokongan tambahan apabila berada di pasaran luar. Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

7.0  CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA

Walaupun Industri francais mempunyai potensi yang besar dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, namun begitu masih terdapat cabaran yang dihadapi dalam pembangunan industri francais di Malaysia seperti orang awam, usahawan secara umum dan usahawan francais secara khususnya yang masih belum mengetahui dan memahami dengan mendalam tentang sistem perniagaan francais itu sendiri termasuklah potensi dan kebaikan-kebaikan sistem ini.

7.1         Cabaran dan Halangan Kepada Francaisi

Antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh francaisi adalah kelemahan dari segi ilmu pengetahuan tentang perniagaan francais.  Kebergantungan oleh francaisi terhadap francaisor menyebabkan perniagaan francais yang dijalankan tidak berjaya.  Francaisi bukan hanya mengeluarkan modal kewangan semata-mata tetapi perlu mengetahui selok belok perniagaan francais.                                                                                                          

Cabaran yang paling utama yang dihadapi oleh francaisi adalah bayaran atau yuran yang perlu dibayar kepada francaisor. Kadangkala bayaran yuran yang dikenakan agak tinggi dan adalah diluar kemampuan francaisi disamping terdapat juga bayaran tertentu yang perlu dilakukan secara berterusan.

Selain daripada itu juga, francaisi juga perlu berhati-hati kerana terdapat francaisor yang melakukan penipuan dan salah urus.  Ini menyebabkan francaisi mengalami kerugian.  Oleh yang demikian sebelum menjalankan perniagaan francais, francaisi dinasihatkan agar melakukan penyelidikan tentang operasi perniagaan francais yang dilakukan oleh francaisor.
Cabaran seterusnya yang dihadapi oleh francaisi di Malaysia adalah terdapat francaisor yang tamak yang boleh menyumbang kepada kegagalan perusahaan francais.  Keuntungan menjadi matlamat utama francaisor tanpa mengambil perhatian terhadap kepentingan francaisi seperti yang telah termaktub di dalam terma-terma perjanjian francais.
Selain daripada itu juga dalam industri francais ini, sikap merupakan perkara yang sangat penting bagi memastikan perusahaan francais yang diusahakan ini berjaya.  Francaisi perlu mempunyai sikap yang sering berusaha dan melakukan pelbagai inisiatif dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap perusahaan francaisnya.
Cabaran lain yang dihadapi oleh francaisi adalah sekiranya mereka melanggar perjanjian francais, francaisor boleh menamatkan kotrak tersebut sekiranya francaisi melanggar sebarang terma yang terdapat di dalam perjanjian tersebut.  Antara sebab-sebab yang membolehkan pihak francaisor menamatkan kontrak tersebut adalah seperti francaisi tidak mampu untuk membayar royalti dan tidak menunjukkan prestasi baik yang gagal mendatangkan keuntungan.  Sekiranya kontrak francaisi ini ditamatkan, segala pelaburan yang telah dilaburkan oleh francaisi akan hilang begitu sahaja.
7.2         Cabaran dan Halangan Kepada Francaisor

Bagi cabaran yang perlu dihadapi oleh francaisor adalah rahsia perniagaan mereka terpaksa dikongsikan bersama dengan francaisi.  Perkongsian antara francaisor dan francaisi ini merupakan rahsia-rahsia perniagaan yang boleh mengundang risiko yang berkemungkinan pihak lain akan meniru bentuk perniagaan tersebut.
Selain daripada itu juga cabaran lain yang dihadapai oleh francaisor adalah berkemungkinan francaisi yang dipilih tidak mempunyai komitmen yang tinggi dalam mengusahakan perniagaan francais ini.  Oleh yang demikian, francaisor perlu memilih francaisi yang benar-benar berkelayakan dan mempunyai ciri-ciri seorang usahawan untuk menjalankan perniagaa francais ini.  Perkara ini juga berkaitan dengan sebarang  tindakan yang dilakukan oleh francaisi yang mencerminkan imej kepada francaisor.  Contohnya adalah sekiranya perkhidmatan atau barang yang disediakan di cawangan mempunyai kualiti yang rendah, perkara ini akan memberikan imej dan tanggapan yang buruk dan seterusnya mencemarkan nama baik francaisor.
Francaisor yang bertanggungjawab akan membantu dan membimbing francaisor bagi memajukan perniagaan francaisnya.  Bantuan dan khidmat sokongan yang diberikan oleh francaisor bukan hanya pada peringkat awal pihak francaisi memulakan operasinya tetapi kadangkala sepanjang perniagaan francais itu diusahakan oleh francaisi.  Perkara ini telah memnyebabkan kos pembangunan yang tinggi terpaksan ditanggung oleh francaisor.
8.0            MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Industri francais kini dilihat semakin berkembang dari masa ke semasa selari dengan peredaran masa di dunia yang serba moden ini.  Pertumbuhan syarikat-syarikat francais di Malaysia sangat memberangsangkan dengan usaha, bantuan dan sokongan pihak kerajaan bagi menjayakan industri francais ini.

Ini dapat dilihat dengan penubuhan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) yang telah dilancarkan pada 10 Januari 2012 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.  Sejak sistem francais diperkenalkan di Malaysia, melalui penubuhan PIPFN ini membuktikan betapa pihak kerajaan bersungguh-sungguh berusaha untuk membangunkan sistem industri francais ini kepada satu tahap yang lebih baik pada masa hadapan. 

Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional mempunyai tiga fasa. Fasa pertama dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga 2014 iaitu pengukuhan industri francais. Pada fasa kedua pula, pelan induk tersebut diadakan bertujuan untuk mewujudkan francais domestik yang dinamik dan teguh selari dengan visi PIPFN yang dijadualkan pada tahun 2015 sehingga 2016. Manakala fasa ketiga pula iaitu bermula pada tahun 2017 hingga 2020.  Malaysia sebagai pusat francais merupakan matlamat utama bagi fasa ketiga ini.  Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2012), PIPFN telah merangka tiga fasa bagi membantu memajukan industri francais dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat francais di peringkat Asia Tenggara dan menembusi negara Timur Tengah pada tahun 2020.

Sesunguhnya, usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan sudah pasti akan dapat membentuk dan melahirkan usahawan Malaysia yang mampu untuk maju dan berdaya harap dan seterusnya mampu untuk terus berkembang dan dapat memberi persaingan yang hebat terhadap pasaran diperingkat antarabangsa.  Keberkesanan ini dapat dilihat dengan kejayaan yang telah dicapai oleh usahawan tempatan seperti Secret Recipe Cake & Café, Marrybrown, Chicken King, dan Ayamas.  Kebanyakan mereka telah berjaya menguasai pasaran di seluruh Malaysia dan terdapat di kalangan mereka juga telah berjaya mengusai pasaran luar negara.

Namun begitu dalam menyaingi pasaran global, Datuk Hasan Malek (2013) berkata, usahawan francais juga perlu bersedia berhadapan dengan cabaran di samping sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan sistem francais mereka sedia ada.  Katanya, industri francais di Malaysia terutamanya kini sudah memasuki memasuki fasa matang yang mana dapat dilihat jenama francais tempatan telah berjaya menempa nama di luar negara.

9.0             KESIMPULAN

Oleh yang demikian, usahawan masa kini memilih sistem perniagaan francais kerana model perniagaan ini yang sangat cepat dan pantas berkembang dan mampu untuk menjana pendapatan yang tinggi dan pastinya menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi seseorang individu, syarikat dan seterusnya kepada kemajuan ekonomi negara.

Namun begitu dalam keghairahan untuk melaksanakan perniagaan francais ini, usahawan perlulah memastikan barangan atau produk yang dihasilkan benar-benar unik yang menarik atau memikat pengguna dan mempunyai daya saing yang tinggi dengan pasaran luar.  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menyeru usahawan francais tempatan untuk meneroka teknik keusahawanan baharu dan menjadi lebih kreatif serta inovatif menghasilkan sesuatu produk yang mampu bersaing dalam pasaran yang mencabar. (Utusan, 2013)

Selain daripada itu juga, adalah menjadi keutamaan pihak kerajaan dalam membangunkan industri francais di Malaysia dan paling utama adalah sememangnya hasrat pihak kerajaan untuk membantu usahawan tempatan terus berkembang dalam sistem francais ini dan seterusnya mampu untuk bersaing dengan syarikat-syarikat di luar negara. 

No comments:

Post a Comment